Tarbiah Diri : Ujian Allah, Sabarkah Kita ??

Image

Hakikat ujian sebenar yang dikirimkan oleh Allah kepada manusia ialah sebagai salah satu tarbiah diri buat hamba-hambaNya.Ujian dilemparkan bukan untuk mengulit rasa gelisah di hati ataupun mengundang rasa kecewa di logik akal fikiran manusia tetapi untuk mentarbiahkan iman dan taqwa kita sebagai hambaNya. Bagaimana kita yakini bahawa kita benar-benar kuat seandainya diri ini tidak diuji?? Sedangkan dalam menuntut ilmu pun,bukannya kita hanya menghadam dan menelan teori semata-mata tetapi kita harus menukilkan teori ilmu itu melalui test ataupun exam . Hidup tanpa ujian. Samalah perumpaan seperti mempunyai mulut tapi bisu berbicara,mempunyai mata tapi buta pandangannya.

Kamus pemikiran edisi umat akhir zaman hari ini kerap kali menerbitkan istilah yang kurang memberi motivasi kepada mesin nurani.Natijahnya,nurani menyalurkan rangsangan negatif  kepada lingkaran iman dan taqwa. Pintu nurani yang diketuk ujian Illahi seharusnya disambut dengan senyuman mesra si iman dan si taqwa,tapi disambut hambar dek pemikiran negatif dalam menerima ujian Allah.

“Argh..kenapala aku diuji saat ini !!! ”

“Kenapa dalam ramai manusia aku yang diuji ?? “…….

“Kuatkah aku untuk hadapi ujian ini ??? ”

“Kau cakap senangla….cuba kau yang ada di tempat aku sekarang ini….”

Rangsangan negatif seperti diatas inilah yang telah menyuntik virus dalam lingkaran iman dan taqwa. Virus ini jika tidak diaktifkan anti-virus nya,sudah pasti akan menembusi firewall  nurani kita. Andai laptop kita yang diserang virus  berbahaya pasti tidak betah kita mencari anti-virus yang paling kuat detection and cleanning virus. Lantas,perisian anti-virus seperti Kapersky dan Norton Internet Security menjadi pilihan. Itu laptop. Bagaimana pula dengan rohani dan nurani kita ?? Bagaimanakah kita mahu menyucikan rohani dan nurani kita ?? Usah fikirkan jawapan yang susah.Patutnya kita sudah menghafal skema jawapan untuk soalan ini.Tiada lagi cara terbaik untuk menyucikan rohani melainkan dengan Al-Quran dan contohi akhlak mulia Rasulullah.

Al-Quran merupakan sebaik-baik ayat motivasi untuk kita yang ada ketikanya merasa sedih dan kecewa. Bahasa indah Quran yang begitu tinggi dan hebat bahasanya tidak mampu ditandingi mana-mana buku motivasi yang terdapat di pasaran.Hati terasa damai biarpun kita hanya melihat ayat Quran tanpa membacanya.Lihat betapa hebatnya mukjizat Quran yang hanya dapat dirasai oleh umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja. Fahamilah dengan hati tiap kali membaca Quran. Hayati maksud disebalik ayat-ayat tersebut. Pasti rasa damai dan tenang bertandang di hati sehinggakan akhirnya mampu mengukirkan senyuman di sebalik kedukaan.

” Dan janganlah kamu berasa lemah,dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamu paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman ” (Al-Imran : 139)

Image

Acap kali kita merasakan ujian yang kita tanggung adalah lebih hebat dan berat dari orang lain.Ya. Itulah permainan minda dan iman yang diulit bisikan iblis. Kita lupa dan tidak sedar bahawa ujian yang kita tanggung tika ini jauh lebih ringan dari yang dihadapi oleh Rasulullah dan para sahabat. Andai perjalanan sirah baginda bersama para sahabat tersingkap utuh di rantaian iman,pasti tidak terpacul di bibir kita bahawa ujian yang ditanggung oleh kita lebih berat dari orang lain.

Ayuh,kita lapangkan minda dan hati kita dengan menyingkap kembali perjalanan dakwah Rasulullah.

***********************************

Dakwah Rasulullah S.A.W ke Taif

Tiga tahun sebelum hijrah iaitu pada tahun ke 10 kenabian,kaum Quraish telah memulaukan Rasulullah.Lantas baginda bersama Zaid bin Harithah telah pergi ke kota Taif untuk menyampaikan dakwah Islam. Di Taif,terdapat tiga orang ketua Bani Thaqif iaitu suku kaum Arab yang terbesar di sana. Salah seorang dari ketua kaum tersebut berkata kepada Rasulullah,

” Jika engkau pendusta,aku tidak mahu layan pembohongan ini,tetapi jika engkau benar-benar Nabi,aku tidak mahu dilaknat.”

Ketiga-tiga mereka menolak dakwah yang cuba disampaikan oleh Rasulullah dengan menghina baginda.Lantas mereka menghalau baginda sambil berkata,

” Keluar kamu dari negeri kami ini.”

Baginda diheret keluar dari Bustan at-Thaqif (taman Thaqif) sambil dibalingnya batu-batu oleh penduduk Thaif kepada baginda yang menyebabkan kepala,badan dan kaki baginda terluka.

Zaid ketika itu pula menjerit menahan batu yang dilemparkan kepada mereka. Malaikat Jibrail datang temui Rasulullah S.A.W dan meminta izin dari baginda untuk menghancurkan penduduk Thaif. Walaubagaimanapun baginda tidak mengizinkan Jibrail buat begitu. Lantas,Jibrail berjanji seandainya darah baginda menitis ke bumi,pasti penduduk Thaif akan dihempapkan dengan gunung.

Oleh kerana kasih sayang baginda kepada penduduk Thaif biarpun mereka menolak dakwah baginda dan mengusir baginda,baginda sanggup memerah darah yang mengalir masuk ke dalam kasutnya hingga berkocak kasut baginda dengan darah.Ketika baginda menuruni curam bukit,baginda dan Zaid  masih lagi dilemparkan batu-batu kepada mereka.

Baginda dan Zaid beredar dari Thaif dan singgah di sebuah kebun kepunyaan Uqbah bin Rabi’ah. Tika itu,Rasulullah S.A.W bersandar di satu batu sambil memegang badan Zaid dan bertanyakan keadaan Zaid.Zaid yang ketika itu cedera,jauh lebih bimbang akan keadaan baginda.

(petikan disunting dan diedit dari Biografi Agung Rasulullah Sallahu Alayhi Wassalam,
karya Rusydi Ramli Al-Jauhari)

***********************************

Kini,sedarilah kita bahawa penderitaan dan ujian yang ditempa Rasulullah S.A.W adalah jauh lebih berat dari ujian yang Allah beri pada kita. Pujuklah hati kita agar sentiasa berlapang dada menempuh ujian Illahi.Didiklah iman agar selalu sabar hadapi dugaan yang bertamu. Tanamlah bait-bait indah ” La Tahzan,Innallaha Ma’ana “ dalam ruang pemikiran kita. Bentuklah rohani dengan istilah “Fasabrun Jamil (sabar itu indah) “. Pemikiran yang positif dapat menghantar positive signal  kepada seluruh tubuh badan yang akhirnya, terdidiklah akhlak yang indah dan mulia. Wallahualam.

Image

Nukilan : Nur Zinnirah

Advertisements